Hikmat 1:
PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI
“Sebahagian daripada tanda bersandar kepada amal
(perbuatan zahir) adalah berkurangan harapannya (suasana hati) tatkala berlaku
padanya kesalahan.”
Imam Ibnu
Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada
hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan
perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa
orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung
dengan perbuatan zahir itu tidak serupa.
Kesan
amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika
amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar
kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu
dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang
bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah
hati yang menghadap kepada Allah S.W.T dan meletakkan pergantungan kepada-Nya
tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada
Allah S.W.T tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak
menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai
alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak
menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak
membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia. Allah S.W.T Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang
mengenai Allah S.W.T adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh
kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong
ketuhanan Allah S.W.T atau ‘memaksa’ Allah S.W.T berbuat sesuatu menurut
perbuatan makhluk. Perbuatan Allah S.W.T berada di hadapan dan perbuatan
makhluk di
belakang.
Tidak pernah terjadi Allah S.W.T mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang
atau sesuatu.
Sebelum
menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan
dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar
kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang
kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat.
Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa
yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang
demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan
Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka
bergantung kepada Allah S.W.T, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang
manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya
kepada Allah S.W.T. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi
petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam
perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus
asa daripada rahmat dan pertolongan Allah S.W.T itu tandanya pergantungan kita
kepada-Nya sangat lemah. Firman- Nya:
“Wahai
anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan
kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di
atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah S.W.T meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan
kepada Allah S.W.T membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan
hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini
bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah S.W.T. Selagi seseorang itu
beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.
Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat
Allah S.W.T. Apa juga yang Allah S.W.T lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah S.W.T, maka apa juga amal kebaikan yang
mereka lakukan
tidak
akan menjadi sia-sia.
Orang
yang tidak beriman kepada Allah S.W.T berada dalam situasi yang berbeza.
Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di
dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan
kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat
hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha
(termasuklah
pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat
bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat
melihat hikmat kebijaksanaan Allah S.W.T mengatur perjalanan takdir dan mereka
tidak mendapat rahmat dari-Nya. Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah S.W.T
dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang
demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang
yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana
Allah S.W.T. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat
mengecapi kemakmuran hidup di dunia. Dia mengharapkan semoga amal kebajikan
yang
dilakukannya
dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada
bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya.
Bertambah
banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya. Sebahagian kaum muslimin yang lain
mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang
amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api
neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya
mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan
menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan
segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku
di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana
membuat
mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi
ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu
disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego
serta suka menyombong.
Apabila
rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah S.W.T
seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya
yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak
dilakukannya
seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia
tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir
melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang
pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan
tarekat tasawuf.
Jadi, ada
golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang
bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang
kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat
berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau
ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih pada peringkat
permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan
berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka
lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah S.W.T.
Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk
mendapatkan anugerah Allah S.W.T.
Dalam
perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama
ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan
pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu
yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah
penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan
keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa
kepada
Allah S.W.T yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu. Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih
tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
“La haula
wala quwwata illa billah”
Tiada
daya dan upaya kecuali berserta Allah.
“Padahal
Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat
96 :
Surah as- Saaffaat )
Orang
yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal
yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut
adalah kurniaan Allah S.W.T kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah S.W.T tentu tidak ada
amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah S.W.T berfirman:
“Ini
ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku
tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang
bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri,
dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah),
kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah
an-Naml )
Dan
tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang
dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
(mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang
kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan
ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan
untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 :Surah
al-Insaan )
Segala-galanya
adalah kurniaan Allah S.W.T dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada
takdir yang Allah S.W.T tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan
makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam
ariffin iaitu orang yang mengenal Allah S.W.T. Golongan ini tidak lagi
bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal
ibadat. Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang
ditentukan Allah S.W.T, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan
atau
ketiadaan
sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal
perjalanan menuju Allah S.W.T, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan
syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir
dengan Allah S.W.T. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk
berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata
hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat
atau penyebab. Pandangannya beralih kepada
kurniaan
Allah S.W.T. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah S.W.T kepadanya
dan kehampirannya dengan Allah S.W.T juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka
hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya.
Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan fakir.
Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala
segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan
mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah S.W.T yang menerajui segala
sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang
kepada Allah S.W.T, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat
kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah S.W.T yang fakir.
Petikan dari kitab Al-hikam Ibn Athaillah Al- Sakandary
No comments:
Post a Comment